TAHUN 2015 merupakan tahun penting bagi Ikatan Penulis Sabah
(IPS). Pada tahun itu kelak usia persatuan penulis ini akan melalui satu fasa
baru - suku abad pertama nya atau usia ke-25 tahun pertamanya semenjak ditubuhkan
pada 24 Mac 1990. Sebagai sebuah persatuan penulis yang bermaruah, IPS bersiap
sedia menganjurkan Perayaan Jubli Peraknya tahun depan dengan pelbagai program
dan aktiviti.
Menjadi Ketua Satu IPS selama hampir dua dekad, saya cukup
dewasa untuk memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa
apabila sesebuah organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada
mereka yang menjadi tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub
dalam perlembagaannya dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah
persatuan yang sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya
melalui program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia
tetap meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya
dan kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak
yang besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya
cabaran untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan
dan paling penting kesederhanaannya tidak dihadapi dengan bijaksana.
Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu
'Berwastiyyah Kesejagatan Sastera', intisari motto menjadi landasan kebersamaan
melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam fikiran saya
bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan bersifat material.
Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS? Walaupun saya memimpin
persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi agenda semua orang dalam
persatuan. Mungkin sesetengah orang menganggap saya tidak layak kerana menuduh
kononnya kelemahan saya membangunkan IPS agar lebih hebat, memiliki aset,
mempunyai wang yang banyak sehingga boleh memberikan kemewahan kepada
ahli-ahli, mempunyai itu dan ini, melaksanakan aktiviti bertaraf serta pelbagai
gambaran yang ingin meletakkan IPS itu sudah berada pada landasan yang tidak
tepat.
Saya ingin berkata bahawa semua gambaran itu dilakukan oleh
orang 'silap mata.' Hanya yang selalu bermain silap mata sahaja berusaha untuk
mengaburi pandangan bagi meraih kepercayaan orang terhadap perbuatannya itu.
Saya tidak ingin menyentuh siapakah pemain silap mata itu, kerana apa yang
paling penting adalah ingin membawa IPS meneruskan perjalanannya pada satu
landasannya sendiri. Bukan landasan yang dikatakan dimiliki pihak lain. IPS
harus mempunyai produk, disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini
harus dihormati dan wajib IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana
namun IPS tetap akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan
dan amanah menjadi keutamaan.
Saya ingin memperkatakan kepada anda produk IPS yang lalu
dan mendatang. Memberi ingat kepada yang pernah tahu dan memberi tahu kepada
yang baru ingin tahu. Dalam tempoh dua dekad lebih, IPS turut mewarnai kegiatan
persuratan tanah air. Program-program seperti Malam Nostalgia Sasterawan Sabah
1 & 2, Minggu Sastera Sabah, Khemah Sastera IPS, Peraduan Menulis Puisi
Ramadan, Dialog Sabah Baru, Pengucapan
Umum Shuhaibun Yussuf, Anugerah Sastera K.Bali di samping penerbitan karya ahli
serta majalah berkala Komposisi. IPS turut melangkah lebih versitil dengan
penubuhan Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES) yang dipelopori oleh Ahli
Kehormat IPS Dato' Haji Dr Janatan Kandok sebagai Pengerusi Eksekutif. INPES mendapat
kelulusan penubuhannya oleh Amanah Raya Berhad (ARB) setelah mendapat perkenan
Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah pada 2001. INPES berusaha untuk
memberikan penilaian kepada karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh para
penulis Sabah dengan acuannya sendiri.
Dalam usaha untuk mengetengahkan generasi baru agar siaga
tampil di hadapan khalayak, IPS kini ingin memperkenalkan satu produknya iaitu
program yang dinamakan 'Santai Minda'. Program ini merupakan kesinambungan
program Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf (PUSY); bezanya PUSY berbentuk
syarahan atau pidato persendirian tetapi Santai Minda menampilkan beberapa
orang ahli generasi baru diberikan ruang untuk bercakap mengenai isu-isu
tertentu yang difikirkan sesuai buat mereka.
Santai Minda berbentuk 'talk show' yang dikendalikan oleh
para
moderator terdiri daripada para senior yang ada di IPS. Program Santai
Minda akan bermula pada 10 Mei ini di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Program
perkongsian pemikiran ini akan berlangsung setiap bulan atau minimum enam kali
setahun. Bagi tahun ini pelbagai genre akan diketengahkan misalnya genre puisi
menerusi isu deklamasi puisi, teater dalam kalangan penggiat muda, para penulis
cereka di samping tokoh-tokoh ilmuan yang akan memberikan input berhubung
dengan dunia persuratan itu sendiri. IPS berharap program ini boleh menjadi
salah satu tanda aras dalam usaha membentuk generasi baru menghayati dunia
penulisan sekaligus sebagai aktivis.
Alloy menerima kad ahli dari K1. |
IPS harus menjadi pilihan dalam kalangan generasi muda
apabila program teater membawa jenama pengilmuan melalui pementasan. Dalam hal
ini, IPS turut membahui tanggungjawab pembentukan minat dalam kalangan generasi
muda ini apabila Creative Stage IPS diwujudkan oleh Biro Teater IPS. Setelah
pernah meraih kemenangan dalam Festival Teater tahun lepas dan pementasan
teater 'Pinangan' selepas itu, grup teater di bawah pimpinan Erwan Azzaly Awang
Taip atau Alloy ini akan memperkasakan lagi kegiatannya mulai Jun ini dengan
sebuah pementasan Teater Randai di Kota Kinabalu. IPS amat komited dengan usaha
gigih anak-anak muda dalam grup ini dan yakin teater tidak muncul hanya semasa festival
semata-mata. Saya berharap teater diungkayah secara serius bukan menjadikannya
semata-mata pengisian asal ada. Biarlah selepas pementasan audiens ingin lagi
yang lain bukan mencemuh atas sikap asal ada yang amat merugikan pentas dan
wang yang digunakan.
Rakan-rakan IPS sering bertemu di MH3 IPS. |
IPS juga komited dengan program penghayatan Islam selain
Program Peraduan Menulis Puisi Ramadan misalnya tahun ini IPS akan menganjurkan
Nadwah Sastera Islam dan Malam Pengucapan Puisi Hijrah sempena perayaan Maal
Hijrah 1436. Program nadwah bukan bermaksud mengambil alih aktiviti yang sedia
ada tetapi menambah lebarkan lagi mesej yang sama iaitu mengimarahkan tema-tema
Islami dan berobjektifkan nilai-nilai murni dalam aktiviti berkenaan. IPS
mempunyai pengalaman menganjurkan aktiviti pengucapan puisi Hijrah sebelum ini
yang cukup berjaya. Mudah-mudahan pengalaman ini memberikan kekuatan untuk
menambahbaik aktiviti seterusnya. Untuk memantapkan lagi pentas deklamasi
puisi, IPS jua akan membuka pentas deklamasi kepada para deklamator terpilih
secara solo. Tahun ini IPS akan menonjolkan pendekatan sajak-sajak jenaka
(Sajen) oleh pelopornya di Sabah, Mohammad Puad Bebit. Kami juga telah
menyenarai pendek beberapa orang tokoh penyair seperti Datuk Haji Jamdin
Buyong, Datu Ruslan Sulai dan Hajah Zaiton Ajamain untuk mengisi slot ini.
Sudah tentu penampilan mereka mempunyai corak yang tersendiri dan yang jelas berbeza
daripada cara konvensional persembahan deklamasi sebelumnya.
Sejajar dengan matlamat pembinaan dan pemantapan para penulis
sama ada mereka yang bergabung dengan IPS atau tidak, IPS tidak akan
mengetepikan program penataran sastera. Biro Kreatif IPS Sandakan akan membuka
tirai aktiviti di daerah itu pada pertengahan bulan Mei ini. Bengkel Penulisan
Kreatif cerpen dan Puisi akan berlangsung pada 17 Mei di Sekolah Menengah
Kebangsaan Muhibbah Sandakan. Aktiviti ini dianjurkan oleh IPS dengan kerjasama
DBP Cawangan Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan. Program penataran ini merupakan langkah
awal IPS dalam melaksanakan bengkel
jelajah seluruh Negeri khususnya daerah-daerah yang telah mempunyai Biro
Kreatif IPS. Daripada bengkel ini IPS membuka ruang untuk menjadi para peserta
sebagai rakan IPS. Dengan berdoa mereka akan menjadi penulis selepas itu tetapi
lebih berharga lagi sekiranya mereka menjadi keluarga IPS.
IPS sentiasa berhasrat untuk mengangkat isu-isu sastera sebagai iltizam persatuan terus konsisten dalam gerakannya. Oleh yang demikian, IPS perlu terus berusaha mengikut kemampuan yang ada untuk mengetengah idea-idea baru dan bernas agar kegiatan persatuan terus relevan dan mampu pula menarik minat semua golongan masyarakat. Sesuai dengan mottonya agar semangat wasatiyyah menjadi tunjang pegangan perjuangan, IPS akan terus bergerak secara berterusan, meski kelihatan kecil tetapi akan mempastikan impak setiap aktivitinya. Salah satu program yang telah pun diperkenalkan IPS ialah Santai Minda. Program ini merupakan salah satu pendekatan untuk mendekati masyarakat dengan memperkatakan isu-isu penting dalam gerakan sastera masa kini. Ia merupakan sebuah forum yang akan menemukan tokoh-tokoh sederhana dan muda sehingga tokoh-tokoh yang mapan dan veteran untuk membincangkan sesuatu isu yang akan ditentukan. Kita percaya program ini boleh menjadi satu satu lagi penanda aras IPS untuk terus berada di persada sastera tanah air.
IPS sentiasa berhasrat untuk mengangkat isu-isu sastera sebagai iltizam persatuan terus konsisten dalam gerakannya. Oleh yang demikian, IPS perlu terus berusaha mengikut kemampuan yang ada untuk mengetengah idea-idea baru dan bernas agar kegiatan persatuan terus relevan dan mampu pula menarik minat semua golongan masyarakat. Sesuai dengan mottonya agar semangat wasatiyyah menjadi tunjang pegangan perjuangan, IPS akan terus bergerak secara berterusan, meski kelihatan kecil tetapi akan mempastikan impak setiap aktivitinya. Salah satu program yang telah pun diperkenalkan IPS ialah Santai Minda. Program ini merupakan salah satu pendekatan untuk mendekati masyarakat dengan memperkatakan isu-isu penting dalam gerakan sastera masa kini. Ia merupakan sebuah forum yang akan menemukan tokoh-tokoh sederhana dan muda sehingga tokoh-tokoh yang mapan dan veteran untuk membincangkan sesuatu isu yang akan ditentukan. Kita percaya program ini boleh menjadi satu satu lagi penanda aras IPS untuk terus berada di persada sastera tanah air.
Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan