28 Mei 2014

Catatan Bengkel Penulisan Kreatif di SMK Muhibbah Sandakan


Sumbangan Azridah PS Abadi
akujuadisini@yahoo.com


SUDAH lama saya menyimpan hasrat hati ini, ingin mengadakan aktiviti sastera  di tempat kelahiran sendiri. Tapi, apabila memikirkan dana, saya tidak mampu berbuat apa-apa.  Namun, naluri saya sering memanggil-manggil untuk mengadakan aktiviti itu juga.  Dengan keberanian dan kekuatan jiwa, saya menyuarakan hasrat hati dengan Ketua 1 Ikatan Penulis Sabah untuk mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif di Sandakan khas untuk pelajar sekolah menengah dan orang awam di Sandakan.  Alhmadulillah, cadangan saya diterima dan disokong oleh ahli-ahli IPS yang lain.
          Lebih kurang sebulan lamanya saya mengatur program ini. Saya akui, ini bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilakukan.  Meski pun saya berdiri tunggal sebagai Biro Ikatan Penulis Sabah di Sandakan, tetapi saya tetap yakin bahawa saya mampu melakukannya, kerana prinsip hidup saya tidak ada perkara yang mustahil boleh dilakukan jika benar-benar ingin sesuatu itu tercapai. 
          Dengan mendapat kelulusan daripada Pegawai Pendidikan Daerah, Sandakan Tuan Sharif Mahada Bin Sharif Attar, maka Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Ikatan Penulis Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan SMK Muhibbah Sandakan diadakan pada 17 Mei, 2014 di bilil gerakan, SMK Muhibbah, Sandakan, bersamaan hari Sabtu,  bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.  Antara objektif bengkel ini ialah untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penulisan kreatif, memperluaskan penulisan kreatif dalam bidang sastera dan meningkatkan kemahiran penulisan kreatif yang sedia ada dalam kalangan pelajar dan orang awam.
          Mengikut sasaran IPS, bilangan peserta hanyalah  untuk 35 orang sahaja. Namun, ianya diluar jangkaan apabila seramai 65 orang peserta termasuk Ahli jawatankuasa kerja SMK Muhibbah telah menyertai bengkel tersebut.  Antara sekolah-sekolah yang telah mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Muhibbah, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sekolah Menengah Sandakan, Sekolah Menengah Datuk Pangeran Galpam, Sekolah Menengah Tun Juhar, dan Sekolah Menengah Tongod, Sandakan.
          Penceramah bengkel ialah Ketua 1 IPS,  Encik Sukor Usin atau dengan nama penanya Hasyuda Abadi dan Encik Mohd Puad Bebit, selaku Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Seni di Universiti Malaysia, Sabah yang juga ahli IPS. Encik Mohd Puad Bebit atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sifu Art’ memulakan bengkel tersebut.  Beliau menyentuh mengenai kreativiti penulisan puisi khasnya sajak jenaka atau ringkasnya ‘Sajen’.  Ternyata, Mohd Puad Bebit telah berjaya menghimburkan para peserta dengan lawak jenakanya yang bersahaja. Sesungguhnya, ‘Sajen’ telah menghidupkan suasana bengkel menjadi lebih ceria dan menarik.  ‘Sajen’ adalah sajak yang baru diperkenalkan di Malaysia dalam alam maya e-sastera.  Hasil kreativiti Encik Mohd Puad, beliau mengaktifkan dan cuba melopori ‘Sajen’ di Sabah khasnya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. ‘Sajen’ adalah sajak moden yang memudahkan pendengar atau pembaca untuk menghayati isi kandungan sajak tersebut. ‘Sajen’ bukan sahaja bersifat sebagai menghibur kepada generasi muda dalam persembahan tetapi juga lebih kepada pengajaran dalam pendidikan dan kandungannya, yang mengutamakan unsur-unsur moral dan memupuk semangat kecintaan kepada negara. Jelasnya, ia juga bertujuan memudahkan pendengar merasa suka dan faham apa yang disampaikan dalam persembahan. Ceramah kedua, oleh Encik Sukor yang banyak menyentuh tentang kreativiti penulisan cerpen dan bagaimana untuk menghasilkan sesebuah cerpen yang bermutu. Dalam sesi bengkel cerpen ini juga, banyak soalan yang diutarakan oleh peserta bengkel.  Bengkel diserikan lagi dengan kehadiran seorang pemerhati, Profesor Madya Baharudin Mohd Arus, dari fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Universiti Malaysia, Sabah.
          Kira-kira jam 4.30 petang majlis penutupan bengkel diadakan yang dirasmikan oleh Encik Ahmad Ladju, selaku Pegawai SISC+, Bahasa Melayu Sekolah Menengah.  Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Ikatan Penulisan Sabah dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan berharap usaha ini akan berterusan dan menggalakkan agar lebih banyak lagi bengkel seperti ini dijalankan untuk membantu pelajar bukan sahaja berminat dalam penulisan kreatif tetapi juga untuk memperbaiki mutu penulisan dalam bidang akademik dan orang awam yang benar-benar serius dalam bidang penulisan.
          Dalam majlis penutupan tersebut, seramai empat orang peserta telah terpilih untuk menerima hadiah galakan yang mana masing-masing menghasilkan sebuah karya dalam bengkel tersebut.  Antaranya ialah adik Nur Syafiqah Marjuni(cerpen), Aminnullah Tanjol (puisi), Nurul Athirah Fatin Amir Sabri (puisi) dan  Puan Isninah Ali Karar  seorang guru di SRJK Chi Hwa, Sandakan (puisi).
Pada keesokan harinya, Ahad saya meluangkan masa untuk bersama-sama rombongan pergi melawat ke Rumah Agnes Keith, di Jalan Istana Sandakan yang mana rumah ini adalah kesan peninggalan sejarah, Sandakan  dan ke Taman Hutan Simpan Sepilok, Sandakan.  Rombongan balik ke Kota Kinabalu kira-kira jam 1.30 petang.
          Sekalung budi saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Daerah Sandakan, para penaja program ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Sabah, Datuk Haji Awang Kadin Tang selaku Timbalan Ketua Umno Bahagian, Sandakan yang juga Timbalan pengerusi Ko-nelayan Sabah, Puan Noraini Sulong, Ketua Wanita Umno P186 Sandakan, Puan Salasiah Masbakun, Ketua Agensi Zhulian, Sandakan, Puan Lim Li Li, Pengetua SMK Sandakan, Encik Desmond Sandum, guru SMK Muhibbah Sandakan, kerabat IPS yang banyak membantu saya dalam merealisasikan impian ini, terutama rombongan yang diketuai oleh  Encik Sukor Usin, Mohd Puad Bebit, Jaliha Jaman dan Ain Sofia.  Tidak dilupakan juga Datin Noorazizah Shaikh Esmail, selaku Penolong Kanan 1 SMK Muhibbah, Sandakan dan Ahli Jawatankuasa Kerja SMK Muhibbah yang begitu komited dalam membantu usaha murni ini.
 Sesuatu kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha dan kekuatan semangat yang bersungguh-sungguh.  Saya bersyukur kepada Tuhan, akhirnya impian ini dipermudahkan dan menjadi kenyataan. Insyaallah, Ikatan Penulis Sabah akan terus mengorak langkah untuk mencapai misi dan visinya.  Terima kasih segalanya.

1 ulasan:

  1. bila lagi ada kursus penulisan ya, sebab saya ingin bermula dan berminat untuk menvmcetak lebih pengalaman ... tolong info saya, 01116405488

    BalasPadam