03 Januari 2010

Bila poligami dikomedikan


FILEM Ayat-ayat cinta.

Pada suatu malam, si suami balik lewat, lalu tidur di dalam bilik tetamu di tingkat bawah rumahnya tanpa menyedari isteri keduanya turut tidur di dalam bilik tersebut. Setelah tiba waktu pagi, barulah si suami tahu bahawa isteri pertama dan keduanya saling kenal mengenali antara satu sama lain. Begitu juga, si isteri kedua baru mengetahui bahawa suaminya itu adalah suami kepada sahabat karibnya.

Lalu berlakulah babak-babak komedi ekoran peristiwa tidur sekatil tersebut dan usaha kedua-duanya bagi mengelak si isteri pertama daripada mengetahui cerita yang sebenarnya.

Itu adalah babak komedi dalam salah satu drama bersiri di stesen televisyen di negara ini dan itulah juga sebahagian daripada realiti dunia poligami di negara ini. Bagi sesetengah pihak, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bagi kebanyakan wanita, dunia poligami sinonim dengan pembohongan, tipu muslihat, strategi, tragedi, kepura-puraan, ketidaksetiaan, dan seribu satu lagi istilah yang sebahagian besarnya lahir daripada emosi, dan kemarahan. Pendek kata, poligami adalah ibu segala maksiat, kejahatan, dan kerakusan nafsu.

Manifestasi daripada pemikiran seperti inilah, banyak pengarah drama dan filem di negara ini menjadikan isu poligami sebagai komedi dalam drama dan filem arahan mereka. Lalu tunjukkanlah bagaimana susahnya seorang suami yang berpoligami untuk berkomunikasi dan berasmara dengan isteri kedua yang biasanya jauh lebih muda daripada isteri pertama. Untuk tujuan tersebut, si suami terpaksa melakukan berbagai- bagai tipu helah, termasuk "berbohong sunat" kononnya.

Pada masa yang sama, amat jarang sekali kita mendengar poligami dikaitkan dengan keperluan pasangan, perkongsian hidup dan kasih sayang, ketaqwaan kepada Allah, tuntutan agama, pembelaan terhadap anak yatim dan ibu tunggal, penambahan zuriat dan punca rezeki, peluasan kaum keluarga dan saudara mara, dan seribu satu lagi istilah dan frasa yang baik-baik dan menyenangkan. Pendek kata, bagi mereka yang menyokong poligami, poligami adalah sebahagian daripada penyelesaian terhadap isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Antara mereka yang nampaknya menganuti fahaman poligami ini ialah Habiburrahman El-Shirazy dalam novel tersohor beliau Ayat-Ayat Cinta. Novel yang kemudiannya difilemkan dengan judul yang sama ini telah menyebabkan masyarakat negara ini seolah-olah diserang histeria dengan pemikiran dan pendekatan yang diambil oleh pengarang Indonesia tersebut. Ayat-Ayat Cinta seolah-olah menyedarkan rakyat negara ini daripada dilamun mimpi buruk institusi poligami.

Melalui novel dan filem Ayat-Ayat Cinta, kita diberitahu bahawa poligami adalah sesuatu yang serius. Mereka yang telah memutuskan untuk mengamalkan poligami seharusnya memikirkan perkara tersebut dengan serius dan semasak-masaknya, malah lebih serius berbanding perkahwinan yang pertama. Tidak ada babak-babak komedi dan lawak jenaka dalam filem Ayat-Ayat Cinta, namun filem ini menggamit perhatian seluruh kelompok masyarakat daripada yang muda hinggalah yang tua, lelaki dan wanita.

Aliran pemikiran poligami dalam Ayat-Ayat Cinta ini kemudiannya diikuti pula oleh Kabir Bhatia dalam drama bersiri Nur Kasih. Jika novel Ayat-Ayat Cinta mencatat hasil jualan dan jumlah pembaca yang tinggi, drama bersiri Nur Kasih pula mencatat rating penonton yang tinggi sehingga ke angka jutaan orang. Kenapakah kedua-dua genre yang memilih tema poligami tanpa lawak jenaka ini sangat diminati oleh masyarakat?

Selain kekuatan cerita dan mesej di sebalik kedua-dua novel dan drama tersebut, masyarakat kini sebenarnya sudah muak dan juak dengan adegan-adegan komedi yang berkaitan dengan poligami. Masyarakat sebenarnya sudah lama mendambakan sebuah filem atau drama yang menampilkan pergolakan kejiwaan isteri-isteri yang terpaksa hidup bermadu dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dalam rumahtangga. Begitu juga dengan peranan si suami dalam memberi bimbingan dan menyelesaikan kemelut yang melanda.

Justeru itu, apabila Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih hadir dalam wajah yang berbeza berbanding wajah-wajah poligami yang penuh dengan komedi sebelumnya, masyarakat pastinya akan tercari-cari jawapan yang sudah lama terpendam melalui kedua-dua genre tersebut. Maka fahamlah kita bahawa poligami memerlukan pengorbanan, kesabaran, ketaqwaan, keikhlasan, tolak ansur, kekuatan mental dan rohani, saling hormat menghormati dan faham memahami, dan sebagainya. Manakala, kasih sayang pula boleh dipupuk jika semua pihak sanggup merendahkan ego masing-masing.

Filem dan drama komedi poligami sebenarnya tidak banyak membantu masyarakat memahami erti sebenar hidup berpoligami. Malah, filem dan drama seperti inilah yang banyak mendatangkan kekeliruan terhadap keperluan poligami dan tujuan sebenar Islam menghalalkan poligami. Filem dan drama komedi poligami menyebabkan masyarakat menganggap poligami tidak lebih daripada memuaskan hawa nafsu, merebut harta kekayaan, membalas dendam, merosakkan kebahagiaan rumahtangga, mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan sebagainya.

Oleh itu, sudah sampai masanya pengarah drama dan filem menilai kembali adegan-adegan komedi poligami agar nilai humor yang dikemukakan tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam institusi poligami. Para pengarah drama dan filem sepatutnya berusaha menonjolkan tingkahlaku-tingkahlaku dan sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh mana-mana lelaki yang berazam untuk berpoligami, khususnya syarat berkemampuan dan adil seperti yang diwajibkan oleh agama Islam.

Oleh itu, maaf kalau saya mengatakan bahawa lelaki yang ingin berpoligami tetapi tidak mahu atau takut menceritakan hasratnya itu kepada isteri dan kaum keluarga, dia sebenarnya awal-awal lagi sudah gagal dalam temuduga untuk berpoligami. Hal ini kerana lelaki seperti ini sebenarnya tidak memiliki mental yang kuat untuk melaksanakan keadilan seperti yang sepatutnya.

Dalam hal ini, kemampuan tidak boleh hanya diukur dari sudut kewangan semata-mata, tetapi dalam kehidupan berpoligami, kemampuan dan ketahanan mental dalam menghadapi masalah rumah tangga adalah lebih utama, khususnya ketika menghadapi karenah para isteri yang mengamuk, merajuk, mengancam, menggertak, memberontak, mengurungkan diri, meracau-racau dan sebagainya.

Sebagai seorang yang mengamalkan poligami, saya lebih memahami kenapa sesetengah lelaki perlu, malah kadang-kadang wajib berpoligami. Kenapa? Kerana poligami bukan untuk dikomedikan. Poligami adalah tanggungjawab. Tanggungjawab kepada diri sendiri, isteri-isteri, anak-anak, kaum keluarga, dan yang lebih penting, tanggungjawab kepada Allah swt.

*PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan