29 Disember 2009

Teknologi maklumat angkat sastera

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Prof Dr Noriah Mohammed bersama pembentang kertas kerja dan peserta PSN XV.

PERTEMUAN Sasterawan Nusantara XV (PSN XV) mengangkat fungsi teknologi bagi memartabatkan sastera sehingga dapat membanteras masalah sosial dengan memasyarakatkannya dan serentak itu menamatkan kedudukannya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

Sasterawan yang menjayakan PSN XV mengakui cabaran mereka ialah kesukaran menarik minat masyarakat kerana orang ramai lebih cenderung pada hiburan dan ilmu yang mudah diperoleh melalui teknologi maklumat secara interaktif.

Perkara ini disinggung Putera kedua Hassanol Bolkiah, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik yang menyifatkan sasterawan kini menggalas tugas berat bagi memastikan karya terus relevan dengan perkembangan semasa dan memberi sumbangan penting dalam pembangunan negara.

"Dalam menghadapi cabaran ini, sasterawan perlu mengambil segala peluang daripada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia mampu mengubah corak perhubungan masyarakat antarabangsa.

“Saya percaya teknologi terkini boleh digunakan untuk mengembali dan meningkatkan fungsi karya sastera sebagai ilmu pengetahuan yang berkesan seperti yang pernah berlaku pada masa lalu," katanya ketika merasmikan PSN XV yang berlangsung di Bandar Seri Bengawan, Brunei Darussalam pada 11 hingga 13 Disember lalu.



Beliau berharap sasterawan dapat menyesuaikan diri dalam keadaan dunia globalisasi dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan teknologi maklumat selain membesarkan fungsi sastera dalam menangani masalah sosial pada masa ini.

"Gejala sosial mesti ditangani semua pihak termasuk sasterawan kerana alat bercerita yang digunakan sasterawan melalui karya adalah wahana cukup berkesan dalam memberi kesedaran dan mengajak masyarakat menghindari perkara yang merosakkan masyarakat," jelasnya.

Presiden Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Mohamed Pitchay Gani Mohameed Abdul Aziz, berkata, di Singapura ada gerakan mengkontemporarikan sastera dan memasyarakatkannya melalui Gerakan Celik Karya.

“Kerjasama terbabit memungkinkan usaha membeliakan sastera dapat dilaksanakan. Sastera dikontemporarikan dengan memperkenalkan Grafiti Sastera iaitu usaha visualisasi karya pelbagai genre menggunakan kanvas dan perisian komputer serta fotografi sastera," jelasnya.

Pendekatan terbabit dikatakan mampu meletakkan sastera sebagai penawar masalah sosial dan bukan sekadar penghasilan karya sehingga mereka yang pernah terbabit dalam masalah sosial menjadikan genre itu sebagai medan meluahkan pengalaman hitam.

"Pada 2007, Asas 50 melalui Adopted Arts Groups , diangkat sebagai anak angkat APB dan diberi dana tetap selama 3 tahun bermula 2008 untuk membiayai gerakan mencapai masyarakat dengan melahirkan prasarana sastera berpotensi bagi menjana pulangan untuk Asas 50 dan masyarakat,” katanya.

Program pada 2008 dengan tujuan menggunakan bahan sastera sebagai terapi belia berisiko tinggi, membabitkan 100 penghuni rumah tumpangan wanita dan kanak-kanak, dengan mengajar mereka menghayati sastera dan menulis cerpen sehingga terhasil antologi Diari Hitam.

Mohamed Pitchay Gani yakin bahawa PSN boleh dipertingkatkan untuk memastikan pembabitan menyeluruh dan sistematik agar usaha memasyarakatkan sastera seiring peredaran zaman, dapat digerakkan secara proaktif khususnya dalam membina semangat serta gerakan serantau.

Peserta Brunei, Norsafiah Safudin, yakin usaha menjana kegiatan pada peringkat nasional wajar diteruskan, walaupun ada sesetengah yang menganggap usaha mengkomersialkan sastera boleh menjejaskan keaslian sastera.

"Pihak yang bertanggungjawab wajar memahami keperluan masyarakat yang merangkumi penggunaan teknologi maklumat secara meluas dan serentak itu melaksanakan tanggungjawab sosial yang membuktikan sastera mampu bergerak sebagai vaksin mencegah masalah sosial," tegasnya.

Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan