PENGUMUMAN:

INGIN MENYERTAI IPS?
Sila hubungi Ketua Dua (0168351013), Puan Jaliha Jaman (0198116672) atau Setiausaha Satu (Mohd Nurazwan 0198695012)

***
24 Mac 2015
- ulangtahun IPS ke-25. Apakah sumbangan anda kepadanya sehingga ke usinya kini? Mari fikirkan untuk 25 tahun akan datang?


***
Ikatan Penulis Sabah telah diperakukan sebagai penerbit buku daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Para penulis di Sabah khasnya ahli-ahli IPS yang berhasrat menerbitkan buku boleh mengemukakan nombor ISBN buku berkaitan kepada urus setia IPS. Bagi ahli tiada sebarang bayaran dikenakan. Maklumat lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubung kami (016 8120664) - Ketua Satu

***
SALAM WASATIYYAH!

SALAM ULANGTAHUN KE-25 IPS

SALAM JUBLI PERAK!



30 April 2014

Unsur-unsur dalam cereka

SIMILE, PARADOKS, FUTURISTIK DAN MELANKOLIK

TERDAPAT pelbagai tema atau unsur dalam penulisan cerpen. Antaranya simile, paradoks, futuristik dan melankolik.

SIMILE
Unsur simile iaitu tamsil atau kiasan yang membandingkan dua subjek yang mempunyai sifat atau nilai yang sama. Sebagai contoh, hubungan ayah dengan anak ditamsilkan kepada hubungan sejarah dengan manusia. Ia memperlihatkan persamaan nilai yang dimunculkan dari sisi "anak dan manusia" yang sering melupakan tentang bejana dan acuan yang wujud dalam imej "ayah dan sejarah" yang membentuk kejayaan mereka pada masa kini. Unsur ini menumpukan pada aspek nilai dalam menggerakkan keseluruhan cerita.

PARADOKS
Unsur paradoks iaitu suatu pernyataan yang sekali imbas kelihatan bertentangan atau salah menurut pendapat umum atau kelihatan agak aneh bunyinya. Namun begitu, apabila dilihat lebih dalam, unsur ini mempunyai kemunasabahannya. Paradoks dalam konteks sastera merupakan satu unsur retorik yang digunakan untuk menarik perhatian umum dan digunakan juga untuk menimbulkan penekanan.

Sebagai contoh, penulis menjadikan watak seorang pengemis yang tiba-tiba menjadi ahli fikir yang bijak berfalsafah tentang kehidupan dan sebagainya. Penulis menjadikan pengemis tersebut sebagai kenderaan untuk menyampaikan fikiran tentang peri peranan masa dalam kehidupan manusia. Dengan mewujudkan watak pengemis yang berfalsafah itu, penulis telah mewujudkan sedikit unsur paradoks.

Bagaimanapun, unsur paradoks ini tidak dapat memberikan kesan kekaguman yang kuat kerana wujudnya kecelaruan akibat keghairahan penulis untuk berfalsafah. Akibatnya, cerpen yang ditulis mungkin meninggalkan lompang-lompang yang kabur dalam fikiran pembaca.

Walau bagaimanapun, unsur ini mungkin lebih berjaya jika penulis lebih banyak membaca bahan-bahan bacaan yang menyumbang kepada pembinaan premis pemikiran yang ilmiah dan praktikal.

FUTURISTIK
Unsur futuristik ialah imaginasi tentang situasi atau proses dunia masa hadapan yang dicerekakan. Dari sisi yang lain, unsur ini memunculkan aliran futurisme iaitu pemikiran yang menolak tradisi masa lampau dan masa kini. Dalam konteks kesusasteraan, unsur ini menumpukan pada percubaan melahirkan suatu bentuk pengucapan formal kepada kuasa dinamik dan pergerakan proses mekanikal, sesuai dengan zaman yang dipenuhi oleh kuasa jentera dan serba-serbi yang pantas dan maju.

Sesebuah cereka futuristik harus difahami bukan hanya menampilkan watak dan latar imaginatif yang lahir secara khayal begitu sahaja tetapi juga hubungan antara fakta dengan aspek kemunasabahan yang jelas. Sebuah cereka futuristik mudah dihasilkan dengan bercerita tentang makhluk asing, kapal angkasa, perang galaksi dan teknologi yang amat canggih. Namun, kesannya tidak membina sevuah cerita atau cereka yang dapat membina sebuah cerita atau cereka yang dapat memberikan kekaguman kepada pembaca. Bahkan ddari sudut lain, cereka tersebut menjadi cereka atau subjek klise dan stereotaip.

Sebuah cereka futuristik yang baik harus mempertaut fakta, logik, pemikiran dan analisis terhadap kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan berasaskan ilmu pengetahuan atau sains yang bersifat penerokaan. Ini memperlihat bahawa cereka futuristik yang baik banyak bergantung pada sifat objektif dan praktikal. Satu lagi hal yang perlu diperhatikan ialah mentaliti penulis yang rata-ratanya beranggapan bahawa nama-nama yang bersifat Barat adalah wakil kepada kemajuan teknologi. Ini sebenarnya tanggapan yuang tidak berasas.

MELANKOLIK
Unsur melankolik iaitu nada mendayu-dayu yang membangkitkan emosi pada setiap peristiwa dalam pembinaan ceritanya. Contohnya, kisah protagonis yang hidup didera oleh ibu serta bapa tirinya dan menderita sakit sehingga usia dewasanya akibat dari penderaan tersebut. Watak diwujudkan dalam keadaan serba naif, daif dan pesimis.

Cerpen melankolik ada ketikanya dapat membawa pembaca kepada hal-hal yang menimbulkan kesedaran dan teladan terhadap peristiwa yang tidak disedari umum. Perkara ini tentunya memberikan suatu bentuk kekuatan atau unsur kekaguman terhadap cerpen yang berjaya menemukan titik kesedaran tersebut. Namun, yang perlu diketahui bahawa cerpen melankolik yang berjaya banyak bergantung pada unsur-unsur spontan dan peristiwa munasabah.

Sebaliknya, cerpen melankolik akan gagal dan hambar jika dipaksa-paksa untuk memeras simpati pembaca. Pembinaan jalinan peristiwa yang terlampau terikat pada "paksaan emosi" akan menghilangkanaspek kespontanan yang menjadi asas kekuatan unsur melankolik. Adakalanya cerpen melankolik yang hebat dan kuat menggabungkan unsur humor, naif dan tragedi. Semua unsur ini wujud secara bersahaja dan tidak terlihat jelas untuk memaksa emosi pembaca. Namun, akhirnya unsur ini secara tidak disedari menimbulkan kesan yang cukup menusuk nubari pembaca.

Cerpen melankolik yang baik sebenarnya perlu lebih menumpukan usaha untuk menimbulkan kesedaran bukannya kesedihan. Penulis pada masa yang lain perlu lebih bijak bermain unsur-unsur spontan untuk menghasilkan sebuah cerpen melankolik yang berkesan dan menusuk perasaan pembaca.

Kesimpulannya, unsur-unsur yang telah disebutkan di atas biasanya digunakan untuk menjadi teras dalam penulisan cerpen. Keberkesanan mana-mana unsur dalam penulisan cerpen bergantung kepada kekreatifan dan imaginasi penulis itu sendiri.

29 April 2014

IPS Anjur Bengkel Penulisan Kreatif di Sandakan

Dewasa ini, bidang penulisan kreatif semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Penulisan kreatif secara umum ialah pengolahan dan penghasilan karangan, ciptaan, karya dan atau cerita seperti novel, cerpen, drama dan puisi. Sebelum terhasil sesebuah penulisan kreatif, seseorang itu perlu berfikiran kreatif sama ada secara dirangsang, dibimbing atau yang semarak sendiri-sendiri. Penulisan kreatif digarap dengan bahasa yang segar, penyusunan ayat yang indah lagi mencabar, dan berunsur murni.

Sehubungan dengan itu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan akan menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif pada tarikh dan ketetapan berikut:

Tarikh : 17 Mei, 2014
Tempat: SMK Muhibbah, Sandakan.
Masa : 7.30 pagi-5.00 petang

Bengkel ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan orang dewasa yang berminat di daerah Sandakan. Sebarang pertanyaan sila hubungi saya melalui talian 0138532837. Borang penyertaan yang telah lengkap diisi hendaklah sampai kepada saya selewat-lewatnya pada 2 Mei, 2014 atau boleh terus menghantar kepada saya di SK. Sri Tanjung Papat 2, Sandakan pada jam 12.30-5.30 petang. 

Terima kasih

28 April 2014

Program Pemukiman IPS 2014

Hasil perbincangan semasa Program Retreat IPS di Rumah Pangi Sabandar Tuaran pada 18-20 April 2014:

1. Pemantapan pendokumentasian pentadbiran
2. Pemutihan ahli-ahli
3. Penubuhan Jawatankuasa untuk kajian semula perlembagaan IPS
4. Memaklumkan semua ahli yang dikenalpasti masih aktif supaya sentiasa mengemaskinikan maklumat perbadi masing-masing
5. Memastikan bahawa ahli HANYA memilih salah satu persatuan persuratan di Sabah yang dianggotainya
6. Memastikan ahli menyertai persuratan tidak melanggar peraturan yang termaktub dalam perlembagaan persatuan seperti berniat tidak jujur, tidak setia atau yang membawa ciri-ciri politik yang tidak sihat
7. Merujuk semula kepada DBP Cawangan Sabah berhubung bilik operasi IPS yang pernah diberikan kepada IPS
8. Persediaan menyambut ulangtahun IPS ke-25 pada tahun 2015
9. Cadangan untuk menubuhkan Rakan IPS
10.Menilai semula hala tuju dan modus operandi Simposium Penulis Wanita Sabah yang sedang dirancang
11. Mengadakan aktiviti-aktiviti yang akan diumumkan kemudian.

Isu-isu yang dibangkitkan ini akan dimurnikan lagi dalam mesyuarat-mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggin IPS dari semasa ke semasa.

Disediakan oleh:
Mohd Nurazwan Augustine
Setiausaha Agung
Ikatan Penulis Sabah (IPS)


20 April 2014

23 April 2014

Kreativiti dalam pertimbangan manusia




oleh Hasyuda Abadi
Ketua Satu IPS

MEMETIK kata Carl S.Hale tentang sang bijaksana dalam dunia penulisan kreatif: creative writers provide the covert foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they remain loners who are totally dedicated to their work', saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan bukan sekadar atau pas-pasan atau alang-alang suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing.

Penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai. Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang yang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana pendapat mereka begitu diamati.

Penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik. Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang selalu disampaikan.

Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang sentiasa berulang? Penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen pemikiran yang  besar dan global. Sedangkan novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu sendiri.

Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata.  Sudah tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian yang menyebabkan mereka tidak selesa? Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.

Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang bijak sana (baca: bodoh) sekalipun memilikinya. Hanya barangkali corak kreativiti manusia tidak  serupa. Manusia bergelar penulis tidak sama dengan manusia yang memanipulasikan bidang geografi? Tetapi mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami pergerakan awan sehingga memberitahu manusia lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.

Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka berdasarkan kreativiti berbahasa untuk memenangi hati rakyatnya. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.

Seterusnya bagaimana manusia menjadikan tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak, cara, acuan dan bentuk yang tersendiri. 

Bagaimana dengan sifat gelojoh atau 'geragas' dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.

Orang yang terlalu membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya, sebenarnya sedang memperlihatkan ketidakberdayaannya dan ketidakpercayaan pada dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.

Orang yang terlalu membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.


Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia. Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu sama ada pilihannya itu bakal memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Kehidupan akan berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.

07 April 2014

Bulan Penulis Sabah: sebuah percakapan kecil



BULAN Penulis Sabah secara positifnya ingin meletakkan para penulis di Sabah pada satu aras yang seimbang dengan kerjaya lain. Mengapa saya katakan demikian? Kerana kewibawaan penulis belum dijadikan agenda penting dalam kalangan masyarakat. Keprihatinan masyarakat belum memperlihatkan kesungguhan bahawa penulis itu wujud dalam komuniti mereka. Sekiranya benar ada perhatian yang bersungguh-sungguh, kita percaya para penulis melalui badan-badan penulis yang ada pada masa ini tidak mungkin terus meminta-minta. Sudah pasti tidak lagi kedengaran suara daripada badan-badan penulis menyatakan harapan ahli-ahlinya agar pihak berwajib memberikan komitmen terhadap perjuangan mereka.

Sebelum itu ucapan tahniah kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) atas penganjuran Bulan Penulis Sabah 2014 yang pelancarannya berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu baru-baru ini. BAHASA sebahagian besar ahli-ahlinya merupakan penulis yang berwibawa telah mengambil inisiatif melalui penganjuran Bulan Penulis Sabah ini. Setelah 3 tahun aktiviti ini dilaksanakan, apakah pencapaiannya memberi makna kepada para penulis secara menyeluruh? Apakah sikap masyarakat terhadap program yang telah diatur? Dan apakah sikap pihak Kerajaan menerusi agensi-agensinya terhadap para penulis.

Soalan-soalan ini wajar dijawab. Kita percaya para penulis Sabah telah mengambil perhatian bahawa penulis sudah ada masa 'satu bulan', atau satu ruang waktu, diberikan untuk mereka. Meskipun program yang telah dirancang diadakan hanya di beberapa tempat terpilih sepanjang bulan yang dipilih, aktiviti-aktiviti juga boleh dilakukan di tempat-tempat lain seandainya para penggiat sastera ingin melaksanakannya. Mungkin ada dalam kalangan penulis cenderung bergiat sendiri-sendiri, bukan dalam mana-mana kelompok yang ada, namun ruang waktu yang direncanakan wajar dimanfaatkan. Barangkali tidak semua penulis maklum wujudnya 'bulan penulis'. Maka hanya segelintir penulis saja yang merasakan penting nya perhatian diberikan kepada usaha ini. Hal ini sudah pasti boleh diperbaiki.

Penulis di Sabah berada di mana-mana. Berseleraknya individu-individu penulis, yang bergerak bersendirian atau disebabkan penampilan mereka itu sifatnya berkala, atau mungkin sahaja para penulis itu sendiri tidak pasti apakah dia seorang penulis (lagi) disebabkan sudah lama tidak menulis, menjadi punca keberadaan bilangan penulis tidak begitu memberangsangkan. Barangkali dengan kehadiran minimumnya 20-30 orang amat memadai tetapi mereka ini merupakan penulis jati yang berkualiti. Kita sudah tentu berharap apa juga aktiviti memberikan satu impak yang luar biasa pada satu-satu masa. Dan hal ini ia boleh dilakukan dengan syarat iltizam semua penulis bukan semata-mata berada dalam satu-satu kelompok sedang yang lain menjadi pemerhati. 

Bukan suatu yang mengejutkan andainya kehadiran penulis dalam mana-mana majlis sastera begitu mendukacitakan. Keadaan ini berlaku di mana-mana. Ada yang berpendapat bahawa kehadiran yang ramai itu memberi tanda sambutan yang baik terhadap program yang dianjurkan. Sebaliknya ada yang melihat kuantiti tidak menjamin keberhasilan program, maka biarlah kehadiran yang relatif kecil tetapi berkualiti lebih bermakna untuk sebuah program yang sederhana. Sebab itu menganjurkan program yang besar harus memastikan kemeriahan mengatasi matlamat sebenar. 

Sebagai penulis yang inginkan sesuatu yang bermakna, kita harus menyatakan rasa penghargaan kepada beberapa orang penulis yang komited menjayakan program-program sastera di Sabah. Masyarakat wajar difahami peri pentingnya peranan penulis dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pengkhazanahan ilmu. Tanpa penulis ilmu tidak mungkin mampu berkembang. Tanpa penulis masyarakat hanya mendengar bunyi yang sunyi. Bayangkan berada dalam sebuah dunia yang sunyi. Sedangkan kesunyian itu diperindah oleh ilmu. Ilmu tidak dapat disebarluaskan tanpa kepakaran yang lain. Waima orang di zaman batu sekali pun akhirnya menjadi pintar dalam kalangan mereka menerusi tulisan-tulisan mereka di dinding-dinding gua.

Inikan pula dalam sebuah tamadun manusia yang inteleknya tinggi. Penulis sebagai sebahagian komuniti umat manusia sewajarnya juga diletakkan sama pentingnya dengan kelompok manusia yang dikatakan berilmu. Meskipun penulis yang dimaksudkan dalam catatan ini lebih terarah kepada genre sastera dan bahasa, kedudukan mereka juga harus diperhatikan. Pernah dahulu pandangan diutarakan agar karya sastera diletakkan dalam muzium, semata-mata dalam sastera itu hanyalah cebisan kenangan indah manusia yang dihidupkan peristiwa masa sudah. Ia sering dikaitkan dengan sejarah, mereka menganggap sejarah itu hanya sesuai berada dalam premis sejarah. Walaupun pandangan ini telah dilupakan, saya percaya, satu sikap yang wajar dipulihkan adalah menghargai peranan penulis.
Rasa terima kasih kita kepada BAHASA amat wajar sekali dan berharap agar program seperti ini menjadi aktiviti yang hebat dan terbilang di masa akan datang. Peri pentingnya asas-asas profesionalisme supaya kerterbilangannya itu juga seirama dengan nilai kenusantaraannya. Perlunya ketelitian dengan mengelak kecelaruan. Sewajarnya diungkayahkan satu ketika nanti penganugerahan tokoh penulis kepada para penulis yang berjasa. Peranan ini perlu dimainkan oleh kerajaan Negeri Sabah. Melalui agensi yang berkaitan perlu disediakan satu geran peruntukan disalurkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah atau Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS). Mengambil contoh seperti yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini kepada DBP Cawangan Sarawak. Walaupun barangkali senarionya berbeza namun semua itu terletak kepada sikap dan mahu atau tidak para pemimpin yang berwibawa melakukannya. Kata yang paling sesuai adalah iltizam para pemimpin politik kita dan didorong oleh sikap terbuka mereka terhadap perjuangan para penulis.

Tidaklah memadai program Bulan Penulis Sabah ini hanya diserikan oleh wacana pemikiran sastera, majlis pelancaran buku, majlis bicara buku, membawa penulis kepada masyarakat menerusi program memasyarakatkan sastera semata-mata. Kita yakin sekiranya pihak berwajib memberikan komitmen mereka terhadap aktiviti para penulis dengan sepenuh perhatian dan serius, program tahunan ini menjadi program yang amat dirasai keindahannya oleh para penulis keseluruhannya. Ia bukan sekadar dimiliki oleh segelintir penulis. Ia juga bukan sekadar sebuah slogan tetapi sebuah landasan paling bererti agar pemikiran penulis terus diberikan pengiktirafan.

Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Gudon Menggatal Sabah