Pintu-pintu laman sastera
BUKAN selalu kita mengalami peristiwa yang menguja. Bukan juga selalu
kita mengungkapkan sebuah apresiasi terhadap masa lalu. Zaman
kegemilangan tidak bermula tanpa peristiwa namun peristiwa tidak mungkin
dapat kita lihat dan rasai tanpa usaha merakam, menyimpan dan menjaga
sebaiknya. Bukan juga mudah mewujudkan sebuah khazanah tanpa minat yang
mendalam. Apakah keperluan sebuah khazanah itu tanpa mengambilkira
kepentingannya selain disebabkan minat atau keinginan sebagai apresiasi
kita terhadap masa sudah?
Kita sering mendengar tokoh-tokoh
budayawan dan sasterawan yang memiliki khazanah masing-masing. Mereka
melalui zaman yang terbaik kerana berjaya merakamkan setiap peristiwa
tidak semata-mata dengan ingatan. Tidak semua insan yang berjaya dalam
zamannya mampu mengingat dengan sempurna setiap detik peristiwa. Namun
mereka yang berakal, kreatif dan sentiasa menyayangi masalalu tidak akan
membiarkannya berlalu begitu sahaja. Ingatan itu harta paling berharga
tetapi tidak mungkin dapat dikongsikan jika tidak diceritakan.
Seandainya ia tidak dipindahkan misalnya dalam bentuk tulisan, lukisan,
imej-imej dan sebagainya, sudah tentu tiada apa yang mampu diterjemahkan
mengenai suatu zaman yang sewjarnya kita hargai. Suatu masa yang begitu
memberikan nilainya untuk sesebuah generasi.
Setiap generasi
memiliki khazanah masing-masing dalam apa juga bidang tidak terkecuali
berkaitan dengan sastera, bahasa dan budaya. Intelek mereka tersimpan di
situ bersama citra generasi sebelumnya. Setiap generasi juga sudah
pasti melahirkan individu-individu yang berwawasan dan agung. Kita
begitu mengaguminya atas dasar pemilikan itu.
Pengajaran masa
sudah tidak akan berjaya dihayati hanya seandainya bahan-bahan berbetuk
fizikal tidak disimpan dengan baik, tidak dipelihara dengan sebaiknya,
tidak dirawat dengan sesempurnanya dan tidak dijaga oleh orang-orang
yang mempunyai kesungguhan tertentu terhadapnya. Khazanah merupakan
harga yang tidak akan sama nilainya dengan apa pun. Khazanah adalah
harta masa depan untuk masalalu yang sentiasa hidup kerana ada yang
beriltizam menghidupkannya.
Sebagai pencinta karya sastera,
kita sewajarnya sentiasa beriltizam agar bahan-bahan sastera dipelihara
dan bahkan dipulihara. Di Sabah, beberapa orang tokoh besar kita
memiliki mini muzium sendiri, misalnya Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun
Yussuf melalui Dangau Budayanya di Papar. Koleksi beliau menjadi rujukan
ramai ilmuan dan pelajar universiti. Datuk Haji Jamdin Buyung, penyair
Sabah yang tidak asing, juga merekayasa sebuah muzium mini di rumahnya
di Putatan. Keunikan muzium keluarganya ini terserlah kerana
ketelitiannya mengumpul data, fakta dan juga foto-foto lama. Beliau juga
meletakkan salasilah keluarganya dengan begitu lengkap. Kita juga boleh
mengikuti sejarah gerakan sastera sejak awal. Selain kedua tokoh ini,
Allahyarham Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) juga menyimpan kumpulan
buku yang besar. Haji Hussain Kasau dan Jasni Matlani juga demikian,
ribuan judul buku boleh ditemui di rumah mereka. Namun demikian,
memiliki atau menyimpan sesuatu khazanah itu tidak bererti andainya ia
tidak dipulihara dengan ciri-ciri bersistem.
Semasa melawat
Laman Sastera K.Manis, sasterawan Brunei baru-baru ini, saya dan
rakan-rakan begitu teruja dengan penampilan ruang khazanahnya, dari luar
sehingga ke dalam. Di luar laman, K.Manis membina sebuah tugu buku
gergasi yang menempatkan secara simbolik pintu-pintu yang memuatkan
puisi-puisi pentingnya mengikut dekad. Sebelum masuk ke pintu laman
sasteranya, terdapat sebuah ruai aktiviti. Menarik sekali, K.Manis atau
nama sebenarnya Haji Moksin Haji Abdul Kadir, memulakan mukadimahnya
dengan menyebut 'pintu' sebagai salah sebuah puisi yang terdapat di
bahagian depan laman sasteranya. Melawat laman sastera K.Manis, saya
teringat Dangau Budaya Datuk Haji Shuhaibun. Persamaan mereka menyimpan
apa sahaja bahan tulis termasuklah kad-kad undangan perkahwinan. Bezanya
Datuk Haji Shuhaibun mengumpul kad-kad hari raya. Beliau juga merekod
kehadiran pengunjung.
Kecenderungan ini merupakan suatu
kelaziman dalam kalangan seniman yang begitu menghargai apa sahaja yang
mempunyai nilai sentimentalepada si pengumpul. Sesetengahnya menghargai
pemberian orang lain. Sesetengahnya pula mencari benda-benda yang
disukai seperti tongkat, majalah-majalah lama, gasing, nota-nota catatan
dan sebagainya. Semua itu begitu bernilai, menguja bagi para
pengunjung, memberikan aspirasi dan inspirasi buat generasi selepasnya
untuk mengagumi, menghargai, mengetahui, mempelajari seterusnya
mendalami sesetengah artifak itu dari sudut sejarah dan asal usul.
Haji Hussain Kasau misalnya, menterjemahkan pemikirannya lebih ke
hadapan apabila meletakkan konsep 'iqrak' dalam usaha mengangkat sastera
sebagai sebahagian daripada penyebaran ilmu. Beliau menamakan sebuah
lokasi menarik miliknya sebagai 'Puncak Iqrak' dengan iltizam
menempatkan para ilmuan, pengkaji serta pelajar berserasehan mengenai
isu-isu berkaitan sastera dan budaya. Saya fikir lebih ramai mereka yang
berkemampuan mewujudkan mini perpustakaan masing-masing. Jika K.Manis
di Brunei tumpuannya kepada genre puisi, apa salahnya pengarang di Sabah
memilih genre cerpen atau novel sebagai mauduk simpanan untuk dijadikan
rujukan. Bukan sekadar koleksi buku tetapi kajian, hasil kajian,
rakaman, keratan akhbar dan majalah disediakan sebegitu informatif
sebagai bahan rujukan.
Para penulis juga boleh mewujudkan pusat
hentian di rumah masing-masing, seperti yang pernah saya singgahi di
Lantera Timor Jakarta, selenggraan sekumpulan graduan yang begitu
mencintai ilmu. Di hentian ini mereka mengatur pelbagai program
berkaitan sastera, tontonan filem, diskusi buku dan jualan buku-buku
yang terpilih. Tentu sekali banyak manfaat yang diterima selain atas
sebab kepelbagaian itu menjadi pilihan para penulis mengikuti sesi
perkongsian sebagai mengisi masa lapang, apa tah lagi seandainya
bidang-bidang yang disebutkan tadi merupakan kecenderungan mereka secara
khusus. Sesiapa sahaja yang datang di ibu kota boleh singgah, memesan
minuman atau makanan, mengakses internet melalui kemudahan wifi yang
disediakan, sambil membaca buku dan surat khabar. Di situ juga boleh
dijadikan hentian pertemuan para penulis, ahli persatuan, pelajar dan
sebagainya.
Penyair Brunei - K.Manis.
Para penulis semakin ingin memaknakan pemikiran
mereka. Penulis juga begitu teruja untuk memperlihatkan kesungguhan
mereka. Apa salahnya, dengan sedikit sumbangan mereka menggerakkan usaha
pemartabatan sastera itu melalui pintu rumah masing-masing. Seperti
kata K.Manis, bukankah dalam kehidupan kita begitu banyak sekali pintu
yang harus dilalui. Semoga pintu rezeki terus terbuka buat kita
membesarkan ruai sastera kita masing-masing.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan