23 September 2013

ANTOLOGI PUISI 'MENJILBAB CINTA' SINERGI SASTERA DUA NEGARA - MALAYSIA/BRUNEI




ALHAMDULILLAH, keberkatan dan dengan izin-Nya juga akhirnya Antologi Puisi Menjilbab Cinta ini dapat diselenggarakan tanpa mengharung banyak rintangan. Ini merupakan sinergi yang cukup bertenaga diungkayahkan oleh gerakan kerja di kedua-dua belah pihak yakni antara ahli-ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan juga di pihak Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei (ASTERAWANI) dan para penyair Negara Brunei yang lain.

Rencana awal untuk menghasilkan antologi ini pada mulanya bersifat adhoc atau semata-mata lembaran karya sebagai kenangan sempena kunjungan muhibbah ahli-ahli IPS ke Negara Brunei Darussalam khususnya menziarahi sahabat-sahabat sasterawan dan penulis ASTERAWANI. Namun setelah bersinergi melalui perbualan dan catatan-catatan di Facebook dalam kalangan Ahli Jawatankusa kedua-dua persatuan ini dan situasinya telah menjadi semakin memerikan semangat yang jitu untuk mendapatkan sebanyaknya karya. Saya hanya menjangkakan tidak lebih 50 buah karya untuk terbitan ini, tetapi atas komitmen, minat dan sambutan istimewa sahabat-sahabat penyair IPS dan ASTERAWANI, pihak penyelenggara yang diusahakan oleh Azridah PS Abadi dan saudara Firdaus HN, terkumpullah sebanyak 63 buah sajak. Menariknya penerbitan ini antaranya ialah para penyairnya terdiri daripada kalangan penerima-penerima SEA Write Award dan tokoh-tokoh penyair yang disegani daripada kedua-dua belah pihak.

Bagi pihak IPS, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga khususnya kepada sahabat-sahabat penyair di ASTERAWANI menerusi Tuan Haji Firdaus Haji Nordin yang memanjangkan puisi-puisi daripada para penyair Brunei dan ASTERAWANI. Tidak dilupai keambilberatan sahabat-sahabat penyair IPS yang begitu bersemangat untuk menghasilkan antologi puisi ‘Menjilbab Cinta’ ini. Penghargaan saya kepada Ain Sofiya dan Jaliha Jaman kerana mengutarakan cadangan untuk kunjungan muhibbah sahabat-sahabat di ASTERAWANI. Begitu juga keungkayahan Azridah PS Abadi, Ketua Penerangan IPS, yang bersedia menggalas tugas menerima, mengumpul dan menyusun manuskrip awal antologi puisi ini. Terima kasih juga kepada Tuan Haji Firdaus OKK Haji Nordin atas kapasitinya sebagai jambatan penghubung antara ASTERAWANI dengan IPS.

Sesuai dengan judulnya, para penyair sentiasa menjaga keharmonian, persahabatan, kasih dan sayang melalui nilai cinta. Kita menjilbabkan cinta agar segala yang berhemah itu terpelihara dan terjamin keikhlasan serta kedamaian di dalamnya. InsyaAllah.

‘Berwasatiyyah Untuk Sastera Sejagat’

Ketua Satu,
Ikatan Penulis Sabah,
Kota Kinabalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan